Monday, August 8, 2016

Kelas Asas Blog Fanpage Business

   " Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan", alang-alang sudah terjun ke dunia perniagaan, saya mengambil inisiatif seterusnya untuk meningkatkan lagi lapangan ilmu dengan menghadiri kelas asas blog bersama Cikgu Anys pada Sabtu yang lalu. Permulaannya saya agak terkejut kerana seakan tidak percaya bahawa guru yang mengajar kelas blog pada hari tesebut kecil molek orangnya. Namun," kecil-kecil cili api", sunnguhpun dirinya kecil molek, namun wanita hebat ini telah membuktikan bahawa semua itu bukan kekangan untuknya menjadi hebat dalam lapangan bidangnya.Puan Anys Idayu Binti Zakaria baru berumur 32 tahun, setahun tua daripada saya, namun cukup terkenal dalam kalangan ahli perniagaan terutama sekali dalam "Group Support". Tidak keterlaluan dikatakan bahawa beliau memberikan saya inspirasi ingin berjaya sepertinya dalam dunia perniagaan yang saya ceburi pada usia yang muda. Malah,  menguatkan lagi semangat saya untuk terus menggapai hasrat bergelar Pengurus Pemasaran Nasional atau PPN di bawah kendalian PPN hebat Puan Norhasyimah binti Idris.  

     Mengimbas kembali kejadian sebelum menghadirkan diri ke kelas blog ini membuatkan saya tertawa sendiri. Hal ini kerana kelas ini sudah penuh kerana saya tidak menyedari bahawa rupanya tawaran telah ditutup. Namun, saya mencari jalan untuk mendapat tempat  pada saat akhir dengan menghubungi Puan Ezzalin melalui " Whatsapp". Saya terhutang budi dengan Kak Syim kerana beliau yang memberikan nombor telefon Kak Ezzalin agar dapat menghadiri kelas blog yang saya ingin pelajari. Bertanya kepada saudara yang pandai berblog, namun saya dapati bahawa beliau agak berat untuk mengajar kerana mungkin memikirkan yurannya yang dibayar untuk kelas ini. Allah Maha Besar, akhirnya saya dapat juga tempat untuk menghadiri kelas ini. "Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih". Peribahasa ini jelas menunjukkan kesungguhan diri saya menginginkan sesuatu tanpa sebarang alasan hingga berjaya menghadirkan diri pada Sabtu yang lalu.

      Kelas yang dihadiri sangat menyeronokkan walaupun saya bukanlah pelajar yang genius. Saya akui, saya kategori "slow learner", namun Puan Anys sabar melayan setiap pertanyaan yang saya kurang fahami.  Malah, saya sangat berterima kasih kepada suami yang sabar melayan karenah anak-anak walaupun dia baru sahaja pulang dari tempat kerja kerana bekerja "Shift "malam. Alhamdulillah, tanpa bantuan beliau, saya menjadi kurang tumpuan kerana si sulung mula merengek ingin menyusu dan kerap datang mengacau saya. Suami menarik si sulung agar tidak mengganggu saya lagi dan dapatlah saya fokus dengan segala ajaran Cikgu Anys. Ternyata proses pembelajaran dalam kelas menjadi seronok kerana kami diajar satu persatu dan jelas. Masing-masing mengutarakan soalan sekiranya kurang memahami sesuatu topik yang diajar oleh Puan Ays Idayu. Selain itu, Puan Anys sabar melayan karenah anak muridnya walaupun terlihat kepenatan dari riak wajahnya. Komitmen yang tinggi daripada rakan sekelas saya menjadikan Puan Anys bersemangat untuk menyambung kelas hingga pukul 4.30 petang. 


     Saya berasa sangat kerdil kerana walaupun saya bergelar guru, namun banyak benda yang masih perlu  saya pelajari.Terasa diri ini perlu membuat sesuatu agar terus menyinar dalam dunia perniagaan yang penuh pancaroba. Saya turut berterima kasih kepada Kak Adila kerana tidak lokek berkongsi ilmu dengan saya saat saya tertinggal semasa proses pembelajaran berlangsung. Maklum lah melihat kesibukan Cikgu Anys melayan pertanyaan demi pertanyaan muridnya pada hari berkenaan membuatkan saya tidak sampai hati untuk terus bertanya lanjut, maka saya bertanya kepada Kak Adila yang sudah membuat tugasan mengikut rentak Cikgu Anys. Lama-kelamaan, saya menjadi bertambah seronok kerana mampu mencuba-cuba sendiri tanpa menunggu arahan daripada Cikgu Anys.

      Akhirullakalam, momen gembira ini diakhiri dengan sesi bergambar oleh Cikgu Anys dan juga para peserta kelas asas blog pada hari berkenaan. Walaupun jam menunjukkan pukul 5 petang, kami tetap mampu tersenyum lebar kerana berasa puas dengan sesi pembelajaran yang menyeronokkan. Malah, proses pembelajaran tidak trehenti di situ sahaja, kami tetap berkawan atas talian dan masih meneruskan ukhwah kami dalam "Group Whatsapp" Kelas Blog. Istimewanya kami juga menerima 6 ebook dan diajar secara "online" dan "ofline". Semasa menulis ini saya mendapat satu kepuasan kerana seakan tidak percaya angan-angan kosong saya akhirnya menjadi kenyataan.

"Pabila Pena Ani Menari"
~ Cikgu Ani~